Wednesday, June 25, 2008

MASANYA TIBA JUA

Revolusi Perancis (1789-1799) telah memberi impak yang besar kepada sistem dunia. Kemenangan sebenar telah diperolehi oleh pihak borjouis. Golongan kapitalis telah berjaya menegakkan apa yang mereka perjuangkan iaitu mempertahankan kapital (modal) mereka.

Beberapa kaedah telah di cari untuk menjaga kepentingan mereka. Keputusan sulit telah dibuat iaitu dengan menggunakan parti-parti politik dan meniupkan demokrasi sebagai nafas baru pembela hak asasi manusia.

Percaturannya mudah, apa jua aliran parti politik di dalam sistem demokrasi memerlukan undi yang besar atau majoriti untuk memerintah. Manusia boleh dibeli dengan wang yang memberi kemewahan dan kesenangan hidup. Nafsu dimanipulasikan ketahap yang maksima. Jari-jari kapitalis menjadi ghaib apabila mengatur cara.

Mana-mana parti yang menang akan menjaga kepentingan kaum kapitalis. Itu tetap dan tidak berubah. Islam menjadi ancaman besar kepada kaum kapitalis kerana Islam tidak menjalankan sistem yang kaum kapitalis terjemahkan sebagai membela hak asasi manusia. Islam mempunyai tatacara tersendiri yang lebih adil dan saksama sekaligus menolak sistem kapitalis.

Pemimpin-pemimpin, ilmuwan dan seluruh umat Islam dilemahkan dengan berbagai-bagai cara. Akibatnya kita hari ini akur dengan sistem demokrasi dan berparti-parti.

Sistem yang telah berakar umbi meresap hingga ke pembuluh darah umat Islam wajib dikeluarkan jika mahu kembali kepangkal jalan. Menurut orang tua-tua yang dituakan, zikir = remember = ingat kepada Allah sahajalah yang dapat mengeluarkan virus-virus seni yang mengancam setiap pelusuk diri manusia itu.

Kaum kapitalis menggunakan jari-jari ghaibnya telah berjaya menguasai minda umat Melayu, Islam juga telah diresapi dengan berbagai-bagai fahaman. Universiti Kaherah dan Al Azhar juga melalui nasib yang sama.

___________

Terlalu lama kita membiarkan diri kita, bangsa kita dan darah keturunan kita ditipu dan dihamba abdikan mengikut telunjuk musuh. Kita langsung tidak bertanggungjawab dengan amanah yang dipikul, kita gagal membela nasib bangsa. Semuanya leka dan hanya mahu berkuasa apabila berada dipucuk pimpinan.

Sungguhpun peringatan demi peringatan telah diberikan, berbagai-bagai bencana dan malapetaka telah menimpa namun kita tetap khayal dengan kedudukan dan kuasa yang bersifat sementara itu. Kita rasakan kitalah yang handal, kitalah yang pandai. Kaum yang lemah kita singkirkan manakala yang berharta - yang kapitalis kita junjung setinggi-tingginya. Betapa lemahnya minda kita setelah begitu lama sejak turun temurun dibiarkan virus-virus halus merobek segenap pembuluh darah-darah di otak, di jantung, di hati, di mata dan di seluruh pelusuk tubuh yang akan menjadi bangkai akhirnya.

Untuk mengekalkan kuasa kita gunakan berbagai-bagai kaedah yang jauh bertentangan dengan nilai adil dan saksama. Kita bersorak dan melaung-laungkan slogan memukau telinga rakyat yang dhaif dan lemah - sejak mereka celik di muka bumi ini musuh-musuh kita dahulu telah menyogok cerita-cerita hiburan, madah-madah seronok ke telinga rakyat jelata. Rakyat kita hadapkan ke dalam alam fantasi penuh angan-angan seolah-olah hidup ini selama-lamanya menongkat langit.

Kita tidak malu lagi untuk menjaga status quo diri. Berbagai tipu daya kita gunakan sedangkan musuh-musuh tersenyum memerhatikan gelagat kita yang berpura-pura. Berbagai-bagai slogan kita gunakan. Rakyat jelata semakin terpinggir, yang miskin bertambah bangsat, yang kaya semakin tenggelam lupa diri.

Manakala yang pandai menggunakan segala tipu daya mengekspoitasi golongan yang dhaif. Sambil berdiri dibelakang mereka, darah rakyat yang dhaif ini kita sedut semahu-mahu tanpa kita tidak berasa bersalah sedikit pun.

___________

Masih ada air mata yang menitik di tengah malam sunyi memohon Allah menghulurkan tanganNya membantu umat Melayu yang semakin terpinggir yang semakin bangsat ini. Semasa semua lupa, ketika semua lalai - ada air mata yang meleleh menitik di atas sejadah memohon kepada Allah supaya jangan dibiarkan umat Melayu ini ditenggelamkan di muka bumi ini.

Orang Melayu sudah tiada tempat bergantung. Di harapkan pagar, pagar makan padi. Mengharapkan keturunan yang baik-baik menjadi pucuk pimpinan tetapi kelemahan diri amat menyerlah hingga mudah diperdayakan, sungguhpun seorang jenderal tetapi sayang jenderal yang tidak tahu memberi perintah.

Pemimpin yang memakai slogan Islam pula hanyalah menjadi kulit di luar yang bakal lekang di bakar panas matahari. Rohani mereka tidak pernah disediakan untuk menanggung amanah Mu. Mulut mereka masih lagi kuat menghukum seolah-olah kasih sayang Mu, pengampunan Mu telah hapus dari muka bumi ini. Pemimpin-pemimpin kumpulan-kumpulan pengajian Islam pula bercakaran sesama sendiri, masing-masing berebut tempat - nafsu masih besar walaupun mengajar anak-anak murid untuk berzikir beribu kali sehari semalam. Semuanya menjadi keldai dan ditunggang semahu-mahunya oleh Iblis.

Yang kaya pula memangsakan yang jahil. Orang Melayu sudah mula nampak ketara memangsakan orang Melayu sendiri, tumbuh berbagai perniagaan berjenis-jenis program mengutip wang orang ramai yang akhirnya lesap begitu sahaja tiada siapa pedulikan. Pemimpin sibuk menjaga kedudukan supaya kekal di kerusi seolah-olah mereka akan terus kekal hidup di muka bumi ini.

Tiada lagi tempat bergantung untuk kami yang mengalirkan air mata di tengah malam yang sunyi ini, kecuali pada Engkau.

___________

Kebatilan akan tumbang satu persatu sehingga yang tinggal hanyalah orang perseorangan atau kaum yang sentiasa beserta dan patuh kepadaNya.

Hanya yang beriman dan bertaqwa akan berada di dalam keadaan tenang dan sejahtera.

___________
Tok Janggut
http://royalpattani.blogspot.com/