Saturday, April 19, 2008

bakal PERDANA MENTERI MALAYSIA



Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia

TEORI R A H M A N

R Tunku Abdul Rahman
A Abdul Razak Hussain
H Hussein Onn
M Mahathir Mohamad
A Abdullah Badawi
A ? (Jika ada tambahan A, mungkin Anwar Ibrahim, jika tiada SKIP)
N Mohammad Nizar Jamaludin atau ada N yang lain?

Buat masa ini, sama-samalah kita memberi sokongan kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi kerana kita yakin bahawa beliau masih mempunyai banyak kekuatan dan daya untuk menyempurnakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dengan baik.

DEMOKRASI

Malaysia sepatutnya terhutang budi kepada Abdullah Badawi kerana semasa zamannya, demokrasi yang diperjuangkan oleh semua parti politik telah tumbuh lebih segar dari zaman Tun Mahathir. Apabila pintu demokrasi terbuka luas maka ada faktor lain yang tidak pernah dijangka akan turut juga berlaku.

Negeri-negeri yang terlepas dari jari Barisan Nasional bukanlah disebabkan oleh Perdana Menteri itu lemah tetapi adalah disebabkan juga oleh pemimpin negeri itu sendiri dan seluruh exconya lemah.

NEGERI PERAK

Adalah tidak logik jika seluruh jiwa rakyat Negeri Perak mengutuk dan mengherdik Abdullah Badawi.

Setelah keputusan pilihanraya umum ke-12 diketahui dan kerajaan Barisan Nasional tumbang di Negeri Perak, ramai yang telah berani bersuara memberi pandangan mengenai kegagalan bekas Menteri Besar Perak Dato' Seri DiRaja Tajol Rosli semasa mentadbir negeri.

Beliau telah dilihat terlalu lemah dalam membuat keputusan dan adalah seorang pemimpin yang tidak langsung sanggup mengambil resiko.

Jika Negeri Perak dibangunkan pesat semasa pemerintahan selama dua terma Tajol Rosli,jika beliau mahir menyelesaikan masalah sosial dan amat memahami derita dan harapan rakyat.

Apabila beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar rakyat Negeri Perak, rakyat akan bersimpati pada seseorang pemimpin yang mempunyai personaliti begini tetapi yang sebaliknya berlaku terhadap Tajol Rosli.

RAKYAT TELAH BIJAK.

Abdullah Badawi kena cuba dengan sedaya upaya untuk membebaskan dirinya dari dipengaruhi oleh pendapat, pandangan atau nasihat dari golongan penasihat yang mempunyai agenda diri yang melampaui batas.

Tibalah masanya Abdullah memikul amanah dan menyempurnakannya sebelum tempohnya habis sebagai perdana menteri Malaysia. Jemaah menteri yang dilantik oleh Abdullah baru-baru ini akan menguji dan menjadi report card Abdullah dengan rakyat. UMNO memegang report card Presiden UMNO tetapi report card Perdana Menteri di pegang oleh rakyat yang mahukan negara ini berjaya!

Beliau juga perlu mahir di dalam memisahkan dirinya dengan jawatan-jawatan yang disandang. Beliau tidak boleh memakai 3 pakaian di dalam waktu yang sama.

Dirinya sebagai bapa, dirinya sebagai Perdana Menteri dan dirinya sebagai Presiden UMNO adalah diri-diri Abdullah yang berbeza-beza peranan, tanggungjawab dan amanahnya.

Sebagai contoh, jika dirinya sebagai Presiden UMNO maka mengikut tradisi parti, haramlah beliau membuat kunjungan hormat kepada semua Menteri Besar atau Ketua Menteri dari parti selain Barisan Nasional untuk beramah mesra dan memberi Amanat Perdana (AP)kepada barisan jemaah exco negeri tetapi jika beliau memakai pakaian Perdana Menteri - adalah menjadi kewajipan kepada dirinya untuk membuat kunjungan hormat kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri kepada 4 menteri besar dan seorang ketua menteri. Ini membawa erti yang besar kepada rakyat negeri-negeri itu terhadap Perdana Menteri. Mereka melihat ini satu pembaharuan, satu anjakan minda - berfikir di luar kotak.

Abdullah Badawi akan selesa duduk bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berikrar untuk mengikuti contoh pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz di dalam pentadbiran negerinya, Menteri-menteri Besar Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan. Tugas dan amanah Perdana Menteri ialah untuk membawa dan membangunkan maruah negara dan menjadi model sebuah pentadbiran yang adil dan saksama penuh dengan kasih sayang di antara rakyat dengan kerajaan dan kerajaan dengan rakyat. Bukannya untuk semata-mata menjaga kepentingan parti yang telah lama memerintah dan menaikkan individu-inidivu yang tertentu yang menyokong diri atau lingkungan sendiri di dalam parti sahaja.

Kita perlu jelas dengan perbezaan jawatan yang di sandang. Di rumah kita menjadi bapa dan bapa mertua yang mendidik anak-anak dengan ilmu dunia akhirat, bersama rakyat kita menjadi Perdana Menteri manakala dengan UMNO, kita menjadi Presidennya.

Bersama guru kita menjadi anak murid, bersama bapa kita menjadi anak, bersama anak kita pula menjadi bapa. Makam ini berubah-ubah, tidak boleh sama di semua tempat.

Perdana Menteri boleh beramah mesra dengan semua jemaah exco negeri yang terdiri dari parti pembangkang sambil memberikan amanat perdananya kepada Menteri Besar dan exco. Menasihati mereka supaya bertanggungjawab di dalam memikul amanah untuk memimpin negeri dengan penuh disiplin dan secara bersungguh-sungguh, mendekatkan jurang antara kerajaan negeri dan rakyat, menghapuskan kemiskinan dan meningkat berbagai jenis aktiviti ekonomi dan memperbagaikan sumber pendapatan rakyat tanpa batasan kepercayaan atau warna kulit.

Kita yakin jika ini berlaku beliau akan dihormati dan dimuliakan oleh rakyat negeri-negeri yang terlibat.

Ini tidak boleh berlaku jika beliau meletakkan dirinya sebagai Presiden UMNO, seolah-olah ada hukum yang melarang keras dari berbuat amalan baik begitu.

Terlalu berpolitik kita kerugian, terlalu berpolitik juga kita kehilangan tanah dan air. Oleh kerana terlalu kuat berpolitiklah kita menjadi tiada maruah dan adab. Oleh kerana politik jugalah kita tidak boleh duduk semeja untuk menyusun semula masyarakat secara berstrategi. Masing-masing menyimpan waham dan syak wasangka.


Abdullah Badawi perlu sedar bahawa tanggungjawab yang dipikulnya hari ini bukanlah ringan. Beliau mungkin tidak pernah termimpikan untuk menjadi Perdana Menteri (lain dari ahli politik lain yang jawatan keramat itulah hasrat tujuan hidupnya), beliau mungkin telah sedar bahawa jawatan Perdana Menteri Malaysia itu sebenarnya adalah alat semata-mata untuk beliau gunakan bagi mencapai kejayaan perjuangan yang sebenar - ini juga adalah amanah bapa dan datuknya dan orang-orang sebelum kita.

Ramai rakyat Malaysia menyayangi Abdullah tetapi sampai bila? Apabila mereka mempunyai Perdana Menteri yang lebih mengawal dan menjaga kepentingan kerajaan dari memahami cita rasa, duka nestapa dan hasrat rakyat.

Rakyat lima-lima negeri ini membayar cukai kepada kerajaan persekutuan. Sampai masa kerajaan persekutuan mengagihkan belanjawan ini, negeri-negeri ini dianaktirikan. Azalina memotong belanjawan pelancongan untuk kelima-lima negeri ini, Perdana Menteri sendiri perlu memperbetulkannya. Maka jadilah kita yang tua dituakan.

Jika beginilah caranya kerajaan ditadbir, adalah lebih baik jika seluruh rakyat kelima-lima negeri itu membayar semua cukai kepada kerajaan negeri supaya kerajaan negeri dapat menggunakan wang ini untuk membangunkan program atau projek pembangunan modal insan rakyat. Mungkin dengan cara ini semua pihak boleh rasa selesa.

Abdullah perlu mempunyai barisan penasihat yang benar, amanah, ,mahir berkomunikasi dan bijaksana di dalam bidang kepakarannya. Kepandaian di kertas tidak mencukupi jika tidak dilengkapkan dengan anugerah-anugerah Allah yang lain.

Politik atau pertubuhan politik diletakkan ketepi dahulu. Pertubuhan-pertubuhan ini tidak mampu untuk membantu Abdullah menyempurnakan amanah dirinya.

Apakah Abdullah hanya dapat berpuas hati menimang cucu dari menantunya Khairy lulusan Harvard yang taraf ijazahnya di sana sama seperti Ijazah Pengajian Melayu di Universiti Malaya? Ijazah atau taraf pendidikan bukanlah satu kriteria utama untuk ada pada seseorang pemimpin, sungguhpun ianya perlu tetapi adab, budi baik, jujur dan amanah adalah di antara ciri-ciri yang mesti ada. Khairy boleh dibentuk untuk menjadi barisan pemimpin pelapis tetapi mestilah dididik dengan adab dan pendidikan kepimpinan yang benar.

Abdullah perlu lepas bebas dari 'penjajahan fikiran' ghazlul fikr yang selama ini membelenggu dirinya sehingga terpaksa buat sesuatu kerana untuk menjaga airmuka, keluarga, menjaga perhubungan atau kepentingan sesuatu pertubuhan atau sekumpulan manusia sahaja. Ketepikan hasrat yang terbatas ini.

Pulihkan semula maruah orang Melayu. Susun masyarakat dan bangunkan tanpa perlu menilai samada yang hendak dibangunkan itu ahli parti mana, apa agamanya dan apa bangsanya. Pulangkan maruah negara.

Percayalah, untuk masa ini dan tempoh ini, Abdullah adalah orang yang paling tepat memikul amanah sebagai Perdana Menteri. Cuma beliau perlu membuka semua ikatan pada dirinya dan mempunyai kebebasan untuk berbincang dengan sesiapa sahaja dan juga bebas untuk membuat keputusan.

Jauhkan jentera kerajaan dari berpolitik atau digunakan untuk kepentingan politik. Jika ada di antara kakitangan kerajaan itu berpolitik (ghairah untuk merebut jawatan di dalam parti), hantar surat dan bagi mereka tempoh untuk meletakkan jawatan jika tidak - pecat.

Kami doakan Abdullah berjaya. Beliau selepas in boleh duduk berbincang dengan para sahabat-sahabat lama dan baru yang kini duduk di luar badan politik atau sedang memegang jawatan dengan pertubuhan politik lain.

Kita doakan semoga proses perubahan ini berjalan secara bermaruah dan beradab. Apabila amanah diutamakan, khazanah akan datang mencari.

______________________

Ramalan RAHMAN / RAHMAAN di atas akan hanya terjadi pada satu hari nanti apabila sistem berparti ditamatkan dan digantikan dengan kaedah pentadbiran Rasulullah - mesyuarah, syura.

Bukan negara Islam, tetapi masyarakat Islam. Tiada sempadan negeri atau negara.

Jika Allah yang izinkan, tiada yang mustahil.
________________
dari SUARA RIMBA

No comments: