Tuesday, April 29, 2008

MENYEMAI DAN MELIHAT IA TUMBUH SUBUR

Memerlukan banyak kesabaran, ketabahan dan keyakinan.Bukannya mudah untuk menjaga dan memastikan bahawa pokok yang ditanam tumbuh subur terselamat dari penyakit yang dibawa angin atau yang telah sedia di dalam udara.
________________________________

Untuk membangunkan insan bukanlah satu perkara yang mudah dan tidaklah sukar tetapi perlu dilakukan dengan cermat. Pengaruh-pengaruh negatif terlalu banyak untuk menggagalkan usaha ini. Kita perlu bebaskan diri kita dari tanggapan-tanggapan sempit dalam diri supaya kita dapat melihat kebenaran melalui persepsi yang benar untuk melakukan pekerjaan yang benar semata-mata.

Kerajaan perlu melihat bahawa rakyat Malaysia telah bijak dan matang. Semakin dikongkong minda rakyat semakin bangun penentangan dan dendam rakyat kepada kerajaan. Pada rakyat Malaysia mereka mempunyai kerajaan yang baik walaupun tidak semua kakitangannya cekap, tetapi amarah mereka kepada pemimpin kerajaan itu yang terdiri dari orang politik yang sentiasa takut pada ketakutan yang tidak pernah mereka ketahui. Pemimpin-pemimpin politik yang dilantik memegang jawatan sebagai menteri masih terikat dengan berbagai-bagai prinsip lapok. Mereka masih menganggap bahawa apa yang mereka fikirkan betul (conditioning di dalam parti politik memang begitu) perlu disogok juga kepada rakyat walaupun pada hakikatnya ia menyeleweng dari kebenaran. Pemimpin-pemimpin jenis ini bukannya berkhidmat untuk rakyat tetapi berkhidmat untuk parti politik mereka sendiri, untuk lingkungan mereka sendiri dan untuk survival diri mereka sendiri!

Siaran langsung persidangan parlimen hanya disiarkan selama satu jam kerana cemas jika rakyat melihat apa yang berlaku di dewan parlimen akan memberikan implikasi atau pengaruh negatif kepada rakyat. Benarkah pandangan sebegini?

Sepatutnya kerajaan menyediakan sebuah saluran khas "PARLIMEN dan ANDA". Sebuah saluran telivisyen yang menyiarkan persidangan parlimen secara 'live'. Rancangan ini akan memberi perkembangan terkini mengenai prestasi ahli-ahli Parlimen. Rakyat juga mahu mengetahui samada ahli Parlimen yang mereka undi semasa pilihanraya mampu bertanggungjawab terhadap amanah rakyat atau sebaliknya. Ini tidak terhad kepada ahli parlimen parti pemerintah sahaja tetapi kepada semua. Rakyat juga patut tahu Pencapaian Indek Prestasi atau Key Performance Index (KPI) ahli-ahli parlimen, menteri-menteri atau perdana menteri sendiri.

Kerajaan tidak boleh mempunyai persepsi apabila kebebasan diberikan kepada rakyat untuk bersuara, mendengar atau melihat - rakyat akan mendapat kesan yang buruk. Rakyat akan bertelingkah sesama sendiri. Rakyat akan ditimpa gejala atau anasir negatif. Sejak dahulu lagi, itulah tanggapan kerajaan terhadap rakyat.

Masih ramai lagi di kalangan rakyat walaupun tidak menyertai mana-mana parti politik, personaliti dan pencapaian diri mereka lebih baik dari menteri yang berada di barisan kabinet dan mereka juga lebih layak memimpin atau menggantikan menteri-menteri di kabinet. Sekurang-kurangnya ramai di kalangan rakyat mampu mengeluarkan pendapat dan fikiran yang bijak.

Penggunaan parabolic antenna telah dianggap memberi kesan negatif kepada rakyat. Lalu dilesenkan. Kempen psikologi kerajaan ke atas rakyat ini kemudiannya telah membantu ASTRO tumbuh subur.

Percayalah, jika internet boleh dilesenkan, blog boleh disekat - semua ini telah dilakukan. Menyekat atau menutup sesuatu website memang telah berlaku, hanya rakyat yang tidak diberitahu.

Bangunlah wahai pemimpin kerajaan. Sedarlah orang politik. Rakyat tahu, kalian naik ke atas sana dengan titik peluh juga. Banyak wang yang telah ditabur dan di labur. Di dalam politik, ramai bahu yang telah kalian tekan - banyak kepala yang telah kalian pijak - apabila di bangku kuasa, lakukanlah yang terbaik untuk rakyat, untuk negara, untuk masadepan. Janganlah lalai - percayalah masa itu bukanlah hak kita semua. Ia akan sampai dan apa yang akan berlaku akan tetap berlaku.

1 comment:

Anonymous said...

Berita Harian, 2hb Mei 2008

Perbuatan memalukan

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Rosman Shamsuddin

PM setuju RTM henti siaran langsung sidang Dewan Rakyat



KUWAIT: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kekecohan yang ditimbulkan Ahli Parlimen pembangkang pada hari pertama sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 kelmarin sebagai memalukan.

Berikutan itu Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan Kementerian Penerangan supaya Kabinet yang bermesyuarat hari ini membuat keputusan menghentikan siaran langsung itu.

Beliau yang menyifatkan tindakan sebilangan Ahli Parlimen pembangkang berkenaan sebagai keterlaluan, percaya mereka berkelakuan sedemikian semata-mata untuk menonjolkan diri kepada rakyat kerana ia disiarkan secara langsung.

"Saya ada dalam dewan dan apa yang berlaku amat keterlaluan. Saya pun rasa malu apabila orang ramai tengok apa yang berlaku dalam dewan. Timbul dalam hati saya semuanya berlaku kerana ada siaran TV. Memang mereka bertindak seperti itu supaya mereka dapat dilihat berbahas dan beraksi.

"Kalau itu keputusan yang dibuat Menteri Penerangan (menghentikan siaran langsung), saya setuju," katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia selepas Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Keempat, di sini semalam.