Monday, April 28, 2008
ORANG MELAYU KAYA
Apakah harapan yang telah kita berikan kepada mereka? Janji syurga tetapi rantai besar diikat ketengkuk untuk di bawa sepanjang hayat.
Tembaga bersalutkan emas
Apa salahnya memberi peluang untuk orang Melayu menjadi kaya dan diberi pendidikan diri yang mantap. Masih lagikah kita menggunakan doktrin British yang memberi kita kemerdekaan di atas dulang tembaga bersalutkan emas?
Jika orang Melayu menjadi kaya, maka akan berlakukah huru hara? Orang Melayu akan mengamuk. Orang Melayu akan menyembeleh satu sama lain. Akan mengalirlah darah di Kuala Lumpur, Seremban, Kota Bahru, Pulau Pinang, di Taiping, di Tumpat, di Kuantan, di Jerantut, di Pontian, di Serian. di Sibu....... Orang Melayu dianggap apabila menjadi kaya, orang Melayu akan menjadi buas. Apabila orang Melayu dapat belajar dan menjadi pandai, orang Melayu akan memberontak melawan kerajaan. Orang Melayu apabila boleh bercakap dengan bijak dan bebas, orang Melayu akan berbunuh sesama sendiri. Itulah minda yang ditanam ke dalam fikiran orang Melayu sejak penjajahan British.
Minda sebegini adalah dakyah penjajah kemudiannya diteruskan melalui berbagai-bagai kempen dan polisi serta undang-undang negara yang memastikan rakyat terus menerus dibelenggu fikirannya - mulut mereka ditutup dan minda diri sendiri telah tertutup saluran untuk menerima kebenaran. Semua pendapat yang bertentangan pada fahaman mereka, di anggap subversif - perlu dibendung.
Ilmu dijawab dengan ilmu jua. Kebenaran dijawab dengan kebenaran jua bukannya dengan gerigi besi.
Parti politik telah dijadikan sebagai sekatan, lagi ramai ahli maka lagi berkesanlah doktrin kawalan minda yang diberikan - setiap orang Melayu perlu berparti, tanpa parti,orang Melayu akan tidak dapat dikawal lagi.Maka orang Melayu dimomokkan dengan menyertai parti politik lalu di dalam parti politik itu jugalah orang Melayu dimasukkan kefahaman yang tidak pernah ia kenal dan sesuai dengan jiwanya - berjuang tetapi tidak tahu erti perjuangan sebenar. Orang Melayu disuntik dengan fahaman bahawa tanpa berparti, tanpa berpolitik, orang Melayu akan hilang kuasa pemerintahan. Akibatnya orang Melayu makin berpecah di kurung di dalam kandang-kandang sendiri. Orang Melayu sudah tidak boleh lagi duduk semeja, bermesyuarah di dalam usaha mendapatkan perpaduan sesama Melayu atau sama-sama menggarap halatuju sebenar orang Melayu.
Eksploitasi minda Melayu semasa zaman British untuk mengiakan hasrat dan strategi penjajah, membuatkan kita semua terbelenggu dengan berbagai-bagai kelemahan diri, sikap untuk berjuang, menjadi lebih mengikut dari mampu berfikir dengan rasional. Benarlah - hari ini kami berikan kemerdekaan kepada kalian di atas dulang tembaga bersalutkan emas, kalian merdeka tetapi kami pastikan kamilah yang akan menjajah 100 tahun lagi.
Jarak tempoh penubuhan Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga ke hari negara mencapai kemerdekaan - British telah berjaya menyediakan barisan lembaga pengarah, Pengarah Urusan, Ketua Eksekutif, Pengurus Besar dan semua eksekutif yang diperlukan untuk mentadbir Malaysia.
Ketakutan
Ketakutan yang kita sendiri tidak menyedarinya membuatkan kita mahu mengawal segala-galanya. Yang bercakap hanya kerajaan, rakyat hanya mengikut. Rakyat hanya menjadi pengikut dan jangan berfikir. Apabila rakyat sudah bersuara melalui saluruan internet, maka kita pun mencari kaedah bagaimana di lesenkan semua blog-blog di dunia ini. Apabila kita melakukan sesuatu yang minda kita, falsafah hidup kita dan diri kita anggap benar akibat suntikan di dalam kandang politik, maka kita usahakan untuk seluruh dunia mengikut kaedah kita, dunia inipun ditadbir oleh sekumpulan manusia yang mencari peluang untuk menutup mulut dari berbicara yang benar. Kitapun secara tidak sedar telah menjadi kuncu-kuncu mereka, muka mereka manis penuh diplomasi tetapi sabit disorok bersedia untuk menyembelih yang degil dan tahu berfikir, yang pandai memilih antara baik dan buruk, antara benar dan bathil, atau siapa sahaja apabila masanya sampai.
Parti politik yang mendokong hasrat penjajah ini akan rasa berjaya apabila semua blog di negara ini blog berjaya dilesenkan atas alasan negara masih belum mencapai tahap negara maju.
Jika model negara maju yang diwujudkan di dalam minda kita itu memerlukan setiap lima tahun sekali kita berpilihanraya, masih terbelenggu lagilah kita di dalam kandang-kandang fahaman politik sempit maka masih terbataslah lagi minda kita semua kerana tidak dapat mencari alternatif lain yang lebih murah, lebih efisien, lebih maju, lebih bahagia dan lebih menyeronokkan.
Kenapa kita takut pada ketakutan yang tidak kita ketahui? Di mana hilangnya keyakinan kita mengatakan kita boleh, kita boleh, kita boleh! Apakah undang-undang yang mengawal kita ini mempunyai alasan yang kukuh kenapa dan apa baiknya kita menggunakannya? Lepaskan ikatan yang mengikat.
Kembali pada kebenaran kerana kebenaran yang hakiki itu tidak pernah menipu.
Tapi kita jadi takut, jadi malu, jadi tidak terdaya lalu dimasukkan nafas panas ke dalam lubang nyawa - yang terisi hanyalah nafsu untuk berkuasa, bertakhta dan untuk kekal selama-lamanya.
Tarik dan rentap nafsu itu semasa ia sedang mengganas adalah kemenangan diri yang tidak ternilai nikmatNya.
Amanah dan Tanggungjawab
Jadi benar pada diri kita. Siapa kita ini sebenarnya? Aku bangsa Melayu maka aku akan bantu bangsa ku bangun - kemudian akan aku bantu bangsa yang lain, akan aku layan mereka dengan penuh kasih sayang dan saksama.
Kami akan bersama-sama membangunkan negara kearah sebuah negara maju yang mempunyai maruah. Alangkah malu dan hinanya kita menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang ke-50dengan penuh gilang gemilang seolah-olah mahu membuktikan kepada dunia bahawa orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia telah betul-betul berjaya. Untuk kempen 'seronok dan memutarbelitkan minda' ini, berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan.
Akibatnya minda Melayu juga yang terperosok. Minda bangsa lain bebas dan lepas. Islam dieksploitasi dan dipergunakan secara halus untuk menjadikan orang Melayu lemah dan tidak berdaya untuk bangun di bumi sendiri.
Sedarlah bahawa masih ramai orang Melayu di negara ini sebenarnya adalah miskin. Hanya beberapa keluarga sahaja yang kaya dinegara ini, hanya beberapa keluarga sahaja yang menikmati peluang ekonomi yang disediakan. Masih ramai orang Melayu yang melalui hidup di dalam kesempitan. Bebaskan orang Melayu dari kesempitan. Ketawa di wajah orang Melayu penuh dengan kepedihan. Orang Melayu tetap orang Melayu, apabila pemimpin datang, pemimpin disambut dan diberikan perghormatan tetapi di hati orang Melayu, sedikitpun hatinya tidak dapat memuliakan pemimpin yang berada di hadapannya kecualilah orang Melayu itu juak politik yang memerlukan banyak jenis kepentingan diri lagi.
Bantuan Kerajaan
Kerajaan memperuntukkan peluang pelaburan kepada rakyat tetapi apabila pulangannya hanya sekelumit dibandingkan wang percuma yang mereka perolehi dari rakyat - apakah pulangan 7 -10% setahun boleh dianggap efektif? Apakah kerajaan mengeluarkan berjuta-juta ringgit menghantar pelajar-pelajar keluar negara mempelajari ilmu pelaburan tetapi apabila pelajar itu pulang ketanahair dan menjadi pegawai pelaburan tetapi hanya mampu memberi pulangan 7 -10% setahun kepada rakyat. Adakah itu kita namakan pencapaian di dunia moden ini. Apakah kita berbangga apabila hanya mampu menghasilkan pulangan 7-10% kepada pelabur yang kebanyakannya adalah masyarakat Melayu yang menyambut kempen kerajaan supaya orang Melayu mengikut tabiat baik pelaburan untuk menjamin masadepan?
Apakah itu bukannya rompakan terang-terangan? Dari segi tanggungjawab pelabur, mereka telah memenuhi tanggungjawab mereka - mendapatkan duit samada meminjam atau mencagarkan harta, tetapi terpenuhkah tanggungjawab kerajaan apabila berjaya mengumpulkan wang dari rakyat secara percuma lalu memberikan pulangan di dalam lingkungan 7 - 10% setahun.
Yang mampu melihat tetapi tidak mampu berbuat apa-apa - hanya memerhati bagaimana orang Melayu masih tertipu sekian lama.
Wujudkan saluran supaya orang Melayu boleh terlibat dengan pelaburan yang memberikan pulangan yang mampu mereka memperbetulkan kehidupan diri sendiri dan keluarga. Bukannya 7% setahun. Orang Melayu sudah pandai mengira dan membuat akaun.
Kerajaan semua
Kita semua memerlukan sebuah kerajaan yang bermatlamatkan menaik dan menjaga maruah Melayu dan mengikut prinsip Islam yang mengamalkan kasih dan sayang, adil dan saksama, bijak dan berstrategi, merancang masa depan dengan baik, bertanggungjawab, berdisiplin dan memahami jiwa rakyat tanpa batasan agama dan bangsa di dalam pemerintahan.
Apabila konsep ini diikuti dan dilaksanakan dengan ikhlas, banyak perubahan mendadak akan berlaku. Bersedialah untuk menguruskan kejayaan selepas itu. Latih dan beri pendidikan bersungguh-sungguh kepada orang Melayu bagaimana kaedah menguruskan lebih dari satu emosi pada satu-satu masa.
Pemimpin kita lalai dengan berpolitik sehinggakan lupa kuasa yang ada tidak dimanfaatkan untuk memperjuangkan nasib anak bangsa. Atas nama muhibbah, atas nama toleransi, atas nama berbilang-bangsa, atas nama bersatu-padu dan kini atas nama bangsa Malaysia - orang Melayu tertipu lagi.
Benarlah kata seorang ahli politik veteran mengenai kerajaan, kita ini ada kuasa tetapi tak tahu guna tetapi apabila diguna - salah guna.
Gelombang Perubahan
Arus besar dan gelombang perubahan akan berlaku, tiada sesiapa dapat menghalangnya. Untuk bersama-sama dapat melepasi arus besar itu ialah dengan memperbetulkan diri dan menggunakan prinsip bermatlamatkan menaik dan menjaga maruah Melayu dan mengikut prinsip yang mengamalkan kasih dan sayang, adil dan saksama, bijak dan berstrategi, merancang masadepan dengan baik, bertanggungjawab, berdisiplin dan memahami jiwa rakyat tanpa batasan agama dan bangsa di dalam pemerintahan.
Jika ini berlaku, yakinlah semua akan bergembira. Rakyat akan memuliakan kerajaan dan kerajaan akan memuliakan rakyat. Apakah orang Melayu hanya mampu berjuang apabila ia duduk di kandang parti politik tetapi apabila keluar dari kandang parti politik, orang Melayu akan bergaduh, berbunuh-bunuh dan bertikam-tikam lagi? Ini minda 500 tahun dahulu. Berubahlah. Lakukanlah anjakan minda. Berfikirlah diluar kotak bukannya, melompat dari kotak besar ke kotak yang lebih kecil lagi.
Keluarlah dari kandang-kandang itu. Kandang hanya untuk haiwan. Mari kita hulurkan tangan kearah membangunkan sebuah negara - satu masyarakat yang mulia memuliakan satu sama lain.
_______________
dari SUARA RIMBA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Damaikan Hang Tuah dan Hang Jebat Atau Hapuskan Kedua-duanya
Suasana politik negara buat masa ini adalah sangat tenat seperti seperti berulangnya sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat di zaman Kesultanan Melaka.Di zaman Kesultanan Melaka Hang Tuah dan hang Jebat telah bertikam sesama sendiri demi menegakkan prinsip masing-masing. Hang Tuah dengan sikap taat kepada raja demi mengekalkan sistem yang sedia ada. Hang Jebat pula dengan sikap menderhakanya kerana beliau dan keluarga sendiri dianiaya oleh raja.
Maka Hang Jebat dengan prinsipnya "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah" demi untuk menegakkan keadilan. Sebagai rakyat biasa Hang Jebat merasakan perlu untuk mengubah sistem raja yang tidak adil ini.
Namun Hang Tuah tidak berdiam diri dengan dengan tindakan rakanya yang menderhaka dan cuba mencetuskan perasaan tidak puashati rakyat. maka kedua-duanya bertikam sehingga Hang Jebat terbunuh. Selepas peristiwa itu Hang Tuah terus membawa diri dan menghilangkan diri.Ketiadaan Hang Tuah dan Hang Jebat menyebabkan negeri Melaka tidak pernah aman dan terus huru-hara sehingga ia telah ditawan oleh Portugis, kemudian Belanda, British dan Jepun dalam satu penjajahan yang panjang mengambil masa lebih 400 tahun.
Apakah kita tidak belajar daripada sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat ini? Apakah kita mahu peristiwa pertelingkahan Hang Tuah dan Hang Jebat berlaku dan berterusan lagi hingga ke hari ini. Sejarah membuktikan pertelingkahan Hang Tuah dan Hang Jebat ini tidak pernah terhenti dan sejarah membuktikan pertelingkahan Hang Tuah dan Hang Jebat ini merugikan pemerintah dan rakyat sendiri.
Melihat situasi politik hari ini, watak Hang Tuah dan Hang Jebat kembali lagi namun dalam versi moden. Pihak pembangkang boleh kita umpamakan mewakili watak Hang Jebat manakala pihak pemerintah mewakili watak Hang Tuah. Jika dulu Hang Tuah dan Hang Jebat bertelingkah disebabkan fitnah dan Taming Sari sebagai senjata bias untuk membunuh Jebat. Hari ini situasi itu hampir sama namun kini kedua-duanya saling mempunyai senjata berbisa iaitu Fitnah bukannya keris Taming Sari lagi. Tuduh menuduh antara keduanya seolah-olah sudah tiada noktahnya. Wujudnya watak si Tuah dan si Jebat ini telah memberi ruang kepada musuh kedua-duanya untuk menangguk di air yang keruh. Berjayakah Hang Tuah dan Hang Jebat mencapai impian masing-masing? Namun yang jelas pertelingkahan kedua-duanya telah menyebabkan rakyat menderita dan berasa bimbang.
Berjayakah Hang Jebat untuk menegakkan keadilan atau berjayakah Hang Tuah untuk mempertahankan kuasa pemerintahan yang sedia ada? Namun berjaya atau tidak kedua-duanya sudah tidak penting lagi. Kerana jika dilihat pada situasi kini, seolah-olah ada Tangan Asing telah menyusup masuk ke dalam sistem pemerintahan dan cuba mengapi-apikan kedua-dua watak ini. Apakah kedua-dua watak Si Jebat dan Si Tuah ini akan berjaya dihapuskan oleh Tangan Asing ini? Perlukah kita mendamai atau menghapuskan sendiri kedua-dua watak ini dengan sistem sedia ada seperti mengistiharkan darurat atau mengadakan pilihan raya sekali lagi? Adakah dengan mengitiharkan darurat dapat menghapuskan kedua-dua watak ini? Atau adakah dengan mengadakan pilihan raya sekali lagi dapat memuaskan hati dan seterusnya mendamaikan kedua-dua watak ini. Berjaya atau tidak tindakan kita, adalah amat bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk membuat pilihan. Namun yang pasti watak Tuah dan Jebat perlu didamaikan atau perlu dihapuskan. Pilihan semuanya di tangan kita sebagai rakyat jelata bukannya pada Tangan Asing.
Post a Comment